PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan keyakinan bahawa peta dan landskap ekonomi negara akan berubah ke arah lebih baik sekiranya penjawat awam cekap dan pantas dalam melaksanakan tugas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, sekiranya semua penjawat awam mengamalkan amalan berkenaan dalam tugas seharian, Malaysia akan menjadi perhatian dunia dari segi pelaburan.

"Jadi saudara, tumpu ini dan saudara lihat, peta ekonomi, landskap ekonomi kita akan berubah dan saya yakin. Penjawat awam mesti tumpu perkara itu, yang lain sepak terajang (dalam politik), itu serah kepada saya dan kawan-kawan.

"Saudara saudari kena tumpu (hal) ini, kerana Malaysia ada keupayaan sekarang bukan sahaja dari segi pertimbangan antarabangsa tetapi juga harapan dari segi pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.